Thursday, February 25, 2021

5 Puak (Episod 4 : Ilmu Mergastua)

ILMU Mergastua satu ilmu lama yang jarang-jarang ada. Terkandung di dalamnya 5 gaya tempur yang hebat. Jika seseorang dapat menguasai ilmu ini, maka dia tiada tandingannya lagi. Kelima-lima haiwan itu muncul di hadapan Naga Emas. Ia cuba mengganggu tumpuan Naga Emas agar tidak lagi meneruskan pertapaan. Naga Emas masih ingat pesan gurunya, "walau apa yang datang dan menduga, itu semua adalah cubaan. Kekal bertahan sehingga cukup sepurnama, maka lengkaplah segalanya".

"Andai ada pertunjukan yang dipersembahkan buatmu, saksikanlah. Namun jangan sesekali kamu tergoda dengannya sehingga sanggup menamatkan pertapaan lebih awal".  Begitulah antara pesanan Mahaguru Tanpa Nama kepada Naga Emas. Kelima-lima haiwan itu cuba menggoda Naga Emas agar datang 'bermain' dengan mereka, namun langsung tidak dipedulikan. Naga Emas hanya tersenyum melihat telatah haiwan-haiwan itu. Tiada lagi pertempuran antara mereka kerana mereka kini sedang bergurau antara satu sama lain.

Tiba-tiba, kelima-lima haiwan itu menjelma menjadi seperti manusia. Wajah mereka adalah wajah manusia, namun yang membezakan adalah pakaian mereka. Semuanya mewakili gaya tempur masing-masing. Pahlawan harimau maju ke tengah gelanggang. Dia mula menunjukkan teknik gaya tempur harimau. Pelbagai gaya tempur yang menakjubkan pemandangan mata Naga Emas. Gaya harimau begitu garang dan ganas. Naga Emas masih kekal duduk berdiam diri dan hanya memandang dengan penuh minat. Selepas itu, tiba giliran pahlawan serigala pula masuk ke tengah gelanggang. Pahlawan harimau pun segera berundur dan memberi sembah hormat kepada rakannya itu. Pahlawan serigala membalas sembah hormat kepada pahlawan harimau sambil merenung tajam Naga Emas.

Pahlawan serigala mula menunjukkan kelincahannya. Gaya serigala yang licik dan pantas, membuatkan rakan-rakannya bersorak-sorai. Cubaan mereka masih gagal, Naga Emas terus kekal tersenyum dalam keadaan duduk bersila. Masuk pula pahlawan gajah. Bergegar keadaan di gua tempat pertapaan Naga Emas itu sewaktu pahlawan gajah melangkah. Gaya tempur gajah, gaya serangan yang berat dan kuat. Walaupun berbadan besar, namun apa yang dipersembahkan di depan mata amat mengkagumkan. Selepas gilirannya berakhir, pahlawan gajah mempersilakan pahlawan seladang masuk. Berbadan tegap dan sasa, juga di kepalanya ada tanduk seperti tanduk seladang yang sebenar. Pahlawan seladang mula menunjukkan kekuatannya. Satu serangan kepala ke batu menyebabkan batu itu berkecai.

Mungkin kerana teknik atau pahlawan itu sebenarnya telah dianugerahkan dengan kekuatan luarbiasa. Di dalam hati Naga Emas berbisik, "semuanya adalah pinjaman dan kurniaan dari Allah, Tuhan Yang Maha Besar. Tiada yang luarbiasa padaku, dengan latihan dan izin-Nya, semuanya mampu dicapai. Akhirnya tiba giliran pahlawan helang. Pahlawan helang begitu yakin apabila bertarung di udara. Gaya cengkaman dan mematuk yang begitu hebat sehingga sebatang pokok berjaya ditumbangkan oleh serangannya. Putaran daripada pergelangan tangannya juga begitu pantas. Gaya serangan yang boleh berubah-ubah, dalam serang mampu bertahan dan dalam pertahanan mampu menyerang balas. Melihatkan tiada apa-apa reaksi dari Naga Emas, kelima-lima pahlawan itu mula mengalah. Kelima-lima mereka pun berjalan semula ke arah Naga Emas dan duduk mengelilinginya.  Mereka pun ikut sama bertapa seperti Naga Emas.

Naga Emas tahu, mereka hanyalah jelmaan daripada Ilmu Mergastua. Kerana itulah Naga Emas tidak berganjak dari tempat duduknya. Setiap pergerakan dan teknik tempur daripada kelima-lima jelmaan itu telah disimpan di dalam ingatannya. "Ingatlah wahai anak murid ku. Ilmu itu banyak cabangnya, banyak bezanya. Tinggal diri kita membezakan ilmu mana yang baik dan sesuai buat kita. Begitu juga dengan ilmu kepahlawanan. Setiap teknik tempur itu adalah ilham dan kurniaan daripada Tuhan Yang Maha Memberi. Tidak semestinya kita kekal dengan gaya tempur itu. Setiap keilmuan itu akan sering berubah-ubah. Dan, aku sebagai gurumu tidak pernah menetapkan bahawa kamu mesti terikat dengan sesebuah gaya tempur kerana musuh akan dapat membaca. "Pahlawan dan pendekar yang hebat mampu mengolah ilmunya. Walau sebanyak manapun ilmu yang diterima, selepas diolah ia akan menjadi satu dan pakaian kita. Dan selepas itu, kita akan rasa perubahan yang amat ketara. Namun begitu, jangan sesekali terpedaya dengan perasaan itu. Itu adalah sifat ujub dan riak".

"Aku sebagai guru kamu berdua amat-amat menggalakkan agar selepas ini kamu berguru juga dengan guru yang lain. Carilah guru yang mursyid, bukan guru yang mengamalkan ilmu hitam. Moga kamu berdua akan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan tanahair kita". Setiap pesanan Mahaguru Tanpa Nama sentiasa diingati Naga Emas. Dia begitu patuh dengan perintah dan ajaran gurunya itu. Selagi tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam dan menepati syariat, Naga Emas akan sentiasa mematuhinya. Tiba-tiba, kelima-lima pahlawan mergastua itu ghaib dan menjadi seperti cahaya. Cahaya yang pelbagai warna itu melayang ke udara, berputar-putar di sekeliling Naga Emas. Selepas itu, cahaya itu mula menerkam ke ubun-ubun Naga Emas. Cahaya pertama berwarna kekuningan mula masuk menembusi ubun-ubun Naga Emas. Naga Emas sedikit tersentak, namun dia dapat menahan dan menerimanya. Cahaya itu berputar-putar di dalam jasad Naga Emas dan kemudian naik semula ke hati Naga Emas.

Cahaya berwarna putih pula masuk dan seperti cahaya kekuningan, ia berputar-putar dan akhirnya berhenti di bahagian mata Naga Emas. Cahaya berwarna putih kemudiannya memancar keluar dari mata Naga Emas. Cahaya ketiga yang memasuki ubun-ubun Naga Emas adalah cahaya berwarna seakan warna kelabu. Keadaan yang sama berlaku dan akhirnya ia berpecah dan berhenti di sendi-sendi bahagian tangan Naga Emas. Naga Emas terasa ototnya mula berkembang. Cahaya keempat adalah cahaya berwarna seakan warna coklat. Cahaya ini agak lincah dan pantas. Selepas beberapa kali berputar, ia akhirnya berhenti dan berpecah ke bahagian sendi kaki Naga Emas. Dan kini tiba giliran cahaya berwarna merah. Cahaya merah ini terasa kehangatannya sewaktu ia berputar-putar di dalam jasad Naga Emas sehingga akhirnya ia berhenti di tulang belakang Naga Emas. Selepas kelima-lima cahaya ini berada di dalam tubuh Naga Emas, dia mula merasakan sesuatu yang istimewa terjadi kepadanya.

Naga Hitam mundar-mandir di dalam pasar. Dari ekor matanya dia menyedari gerak gerinya masih diekori. Dari penglihatan kasar, jasad yang kelihatan di mata pahlawan bayang adalah Naga Hitam, namun semangat Naga Hitam yang sebenarnya telah lama terkurung dan terperangkap di dalam istana Jin Hitam. Jin Hitam cuba menghisap aura putih kepunyaan Naga Hitam bagi mengaburi deria ilmu pahlawan bayang. Oleh kerana kekuatan aura putih itu, pahlawan bayang masih belum dapat mengesan sebarang perkara yang mencurigakan. Kesakitan mula terasa pada Jin Hitam kerana aura putih yang tidak sealiran dengan dirinya cuba menentang aura hitamnya. Semangat Naga Hitam yang asli mula tersedar dari keadaan tidurnya. Dia cuba menentang dan mendapatkan semula semangat dan kekuatannya. Namun begitu kekuatannya masih belum pulih dan tidak dapat menandingi Jin Hitam. "Jangan sesekali kau cuba menyerang. Semangat kau itu tak mampu dan sudah tak berdaya lagi menentang aku. Serahkan diri kau secara rela kepadaku jika tidak mahu ia musnah," tempik Jin Hitam.

Jin Hitam belum dapat menguasai Naga Hitam sepenuhnya. Oleh kerana itu dia mesti memperalatkan semangat dan kekuatan Naga Hitam untuk kepentingan dirinya bagi mengaburi mata pahlawan-pahlawan bayang. "Arghhhh," kesakitan pada semangat Naga Hitam mula terasa. Naga Hitam tidak mahu menyerah kepada iblis laknatullah itu. Rosak jiwa dan jasadnya jika dibiarkan ia bermaharajalela. Naga Hitam cepat-cepat berundur dari pasar itu. Dia sudah mula merasakan sesuatu yang tidak baik akan terjadi pada dirinya. Semangat Naga Hitam cuba mendapatkan kembali aura putihnya. Dalam kekalutan itu, tiba-tiba sahaja muncul dua orang pahlawan bayang. Dengan pedang terhunus, keduanya cuba mendekati Naga Hitam. Mereka belum dapat bertindak kerana pesanan Mahaguru Tanpa Nama yang mahukan mereka berdua menangani keadaan dan situasi dengan baik. Mata Naga Hitam tiba-tiba merah menyala. Dalam satu serangan dan pergerakan yang pantas, Naga Hitam cuba menyerang pahlawan-pahlawan bayang. Namun begitu, pahlawan bayang lebih cekap dan pantas. Serangan itu berjaya dielak dengan mudah. Apa akan terjadi selanjutnya? Apakah Naga Emas akan berjaya menamatkan pertapaan? Bagaimana pula keadaan Naga Hitam dan dua pahlawan bayang?

Bersambung...

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.