Sunday, May 02, 2021

5 Puak (Episod 13 : Pertarungan Darah Bermula)

 

PERTARUNGAN di atas gunung kini memasuki pusingan terakhir setelah pada pusingan kedua dimenangi oleh Anak Helang. Keempat-empat peserta sudah bersedia untuk menghadapi lawan masing-masing. Pada pusingan terakhir ini, seorang pahlawan akan bertemu lawannya secara seorang demi seorang. Seandainya pada saat-saat akhir dan merasakan diri tidak meneruskan pertarungan,  mereka boleh bertukar ganti dengan rakan sepasukan dengan cara bertepuk tangan antara satu sama lain. Cara ini sudah lama digunakan dalam pertandingan antara 5 puak tersebut. Petarung yang mewakili kedua-dua puak sudah bersedia di tengah gelanggang. Saat gendang dibunyikan, itulah maksud bahawa pertandingan telah dimulakan. Anak Harimau menyerang terlebih dahulu. Serangan kiri dan kanan dengan tendangan, disusuli tumbukan pelbagai teknik.

Anak Helang mengelak dengan pantas. Dia sedang membaca serangan lawannya dan masih tidak membalas atau menepis sebarang serangan lawan. Anak Harimau mulai sedar akan tindakannya yang menyerang tanpa sebarang tujuan sebenar. Ia hanya akan menghabiskan tenaganya sahaja. Anak Harimau kemudian berundur beberapa langkah bagi mengatur semula pernafasannya. Namun, tindakannya itu mengundang padah. Anak Helang yang sebelumnya menyimpan tenaga telah menyerang Anak Harimau dari udara. Sepakan helang melayang singgah ke bahagian leher Anak Harimau. Apakah perjuangan Anak Harimau tersebut telah berakhir? Jawapannya belum. Anak Harimau yang merasakan kekuatan aura tendangan itu menghampirinya segera mengelak dengan kepantasan yang luarbiasa.

Anak Harimau segera menangkap kaki Anak Helang, namun begitu sebelah lagi kaki Anak Helang melibas bahagian belakang badan Anak Harimau. Anak Harimau terpaksa melepaskan sebelah kaki yang ditangkapnya lalu dia menyiku kaki Anak Helang yang menyerangnya itu. Sikuan Anak Harimau itu tepat bahagian tulang keting Anak Helang. Anak Helang menjerit kesakitan, lalu dia segera melompat ke belakang. Pertarungan yang sungguh mendebarkan itu belum diketahui siapa pemenangnya. Oleh kerana kesakitan itu, Anak Helang segera berlari menuju ke arah rakannya. Dia mahu rakannya itu menggantikannya. Belum sempat dia menepuk tangannya dengan tangan rakannya, tiba-tiba Anak Harimau menyerang bagi menahan perbuatan Anak Helang tersebut dari bertukar peranan.

Cakaran Harimau segera dihadapi dengan Cakaran Helang. Mereka saling berbalas cakaran sehingga telapak tangan mereka mulai mengalami luka-luka. Sudah beratus-ratus serangan, namun belum ada satu pun serangan mereka yang mengenai sasaran. Dalam pada pertahanan kukuh dari Anak Helang, tiba-tiba dia berpusing dan berputar ke belakang. Putaran kakinya telah membuatkan Anak Harimau terpelanting ke belakang. Kesempatan itu segera digunakan oleh Anak Helang bagi bertukar ganti dengan rakannya untuk mengambil alih pertarungan tersebut. Anak Helang kedua ini lebih besar dan gagah. Namun begitu jangan dipandang rendah akan fizikal seseorang. Selalunya orang memandang bahawa yang berbadan besar itu tidak mampu bergerak pantas dan lincah. Akan tetapi Anak Helang kedua ini membuktikan sesuatu yang berbeza apabila mampu menyerang dengan pantas dan lincah.

Anak Harimau belum sempat meredakan dan memulihkan tenaganya. Dia masih tidak mahu bertukar peranan dengan Anak Harimau kedua. Pasti ada perancangan lain yang mahu digunakannya. Anak Harimau melihat serangan Anak Helang sudah semakin hampir. Mahu tidak mahu dia terpaksa meningkatkan kekuatannya. Lawan yang dihadapi lebih besar bentuk fizikalnya. Anak Helang menyerang dengan tumbukan. Berbeza dengan teknik serangan helang, Anak Helang kedua ini lebih selesa dengan teknik tumbukan. Ada cerita di sebaliknya mengatakan bahawa dia mampu menumbuk batu-batu yang besar sehingga hancur berkecai. Reputasinya yang menggerunkan itu tidak pula membuatkan Anak Harimau gerun atau ketakutan. Namun begitu, tumbukan-tumbukan yang dihadapinya memang amat menyakitkan. Dia cuba menangkap tangan Anak Helang, namun tidak berjaya kerana Anak Helang cepat-cepat menarik semula tumbukannya.

Jin Hitam atau Jin Naga Hitam, pemimpin ulung kedua Puak Bisa selepas Tok Bisa kini kembali bagi menuntut bela. Kekalahan yang dialaminya sebelum ini amat berat untuk ditanggung. Dia terpaksa membunuh saki baki anak buahnya yang cuba melarikan diri atau cuba menyerahkan diri kepada musuh mereka. Maharaja Segumpal Sakti dengan gabungan kekuatan dan kepimpinan Mahaguru Naga Emas sekali lagi berjaya menumbangkan Puak Bisa yang kali ini dipimpin oleh Naga Hitam. Naga Hitam yang telah tersesat akal telah dikuasai jasad dan rohnya oleh Jin Hitam. Jika dahulu ia meminjam tubuh Tok Bisa, kini ia mahukan sesuatu yang lebih kuat dan muda. Naga Hitam adalah pilihannya. Oleh kerana wujudnya perasaan iri hati dan hasad dengki yang begitu membara, Jin Hitam berjaya 'menawan' jasad Naga Hitam. Buat permulaan, Jin Hitam menghadapi tentangan dari roh Naga Hitam.

Lama kelamaan, Naga Hitam akhirnya berjaya dikawal dan menyerahkan dirinya kepada Jin Hitam. Paduan putih dan hitam ini menghasilkan kekuatan ilmu yang berbeza. Roh Naga Hitam sebenarnya masih sedar dengan keadaan yang berlaku di sekelilingnya, namun tidak dipedulikannya lagi akan semua itu demi menggapai cita-citanya menjadi penakluk dunia.

"Hanya ini sahaja pahlawan yang ada bagi menahan aku dan Puak Bisa? Ha ha ha ha ha! Kamu semua hanya menempah maut!" Gertak lelaki itu lalu melompat dari tandu.

Sebaik sahaja kakinya berjejak di atas tanah, pahlawan dari Puak Bisa segera bertekuk lutut. Suara mereka mula bergema kuat, menyambut kedatangan pemimpin mereka. "Selamat datang tuan kami yang gagah dan berbisa, Jin Naga Hitam!"

Rupanya sangat menggerunkan. Tidak kelihatan langsung sebarang bentuk atau fizikal manusia kerana tubuh badannya diselimuti asap berwarna hitam dengan pakaiannya yang juga serba hitam. Semasa dia melangkah, bekas tapak kakinya meninggalkan asap hitam yang panas membara. Terlihat di hadapan Panglima Besar dan panglima-panglima yang lain, Jin Naga Hitam itu sering berubah bentuk tubuh badannya. "Seranggggg!!!" Panglima Besar tidak mahu mereka bertangguh lagi. Beberapa pahlawan dari 5 buah puak yang bersembunyi di bawah tanah terus menyerang musuh-musuh mereka. Jin Naga Hitam begitu bersahaja. Musuh-musuh yang menyerangnya ditumbangkan dengan satu serangan sahaja.

Melihatkan keadaan itu, Panglima Besar yang bersenjatakan sundang dan berlindungkan perisai terus menyerang Jin Naga Hitam. Serangan-serangan dari Panglima Besar begitu kuat dan pantas, malah sundang itu beberapa kali telah menembusi tubuh badan Jin Naga Hitam. Akan tetapi ia belum mampu mencederakan Jin Naga Hitam. Panglima Besar terpaksa berundur bagi mencari ikhtiar baharu. Setelah diamati dengan penuh teliti, barulah dia  dapat melihat bahawa Jin Naga Hitam ini seperti tidak mempunyai jasad. Jasad yang disangkakan jasad Jin Naga Hitam terawang-awangan. Panglima Besar kemudiannya menggunakan ilmu kebatinan bagi menyerang ilmu hitam yang dimiliki Jin Naga Hitam. Sekali lagi dia menyerang Jin Naga Hitam. Pada waktu ini baharulah serangannya lebih bermakna.

Namun begitu, Jin Naga Hitam bukan lawan sebarangan. Serangan sundang dari Panglima Besar ditangkis dengan tangan kosong. Bunyi dentangan besi  kedengaran kuat dan menggegar kawasan pertarungan mereka. Panglima Besar terus giat menyerang sama ada dengan senjata atau dengan kemahirannya yang ada. Jin Naga Hitam terus bergerak dengan pantas. Bayangan-bayangan jasadnya amat berbeza, seolah-olah dia adalah tiga orang yang berlainan. Jasad pertama lebih kelihatan seperti asap hitam, manakala jasad kedua seperti lelaki tua yang dipenuhi dengan racun. Jasad ketiganya terlihat seperti seorang yang punya darjat yang tinggi seperti kerabat diraja. Ketiga-tiganya sering bertukar-tukar tempat membuatkan Panglima Besar mula tersilap langkah. Jin Naga Hitam dapat menangkap perisai yang dipegang oleh Panglima Besar lalu dileburkan dengan api yang marak membara yang tiba-tiba sahaja muncul di tapak tangannya. Mudah sekali besi perisai itu lebur dan kemudian berlaku satu letupan kecil.

Panglima Besar terpaksa berundur ke belakang. Dia sudah kehilangan perisai namun bukan semangat melawannya. Tiba-tiba, "Panglima, sambut lembing keramat ini," jeritan seorang anak buahnya mengejutkan Panglima Besar. Sebilah lembing dilontarkan ke arah Panglima Besar. Dia segera melompat ke udara bagi menyambut lembing itu. Sebaik sahaja lembing itu berada di tangan, Panglima Besar terus menyerang. Lembing keramat itu adalah lembing yang diperbuat daripada 7 jenis besi yang istimewa. Ia tidak mudah untuk dileburkan oleh sebarang jenis api. Panglima Besar menyerang dengan penuh keyakinan dan bertenaga.

Kali ini Jin Naga Hitam agak terganggu dengan kemunculan lembing itu. Ini kerana terdapat tulisan wafak di sepanjang bilah itu. Jin Naga Hitam merasakan lembing keramat itu begitu berbahaya dan menyukarkan ia menyerang balas. Serangan-serangan Panglima Besar semakin pantas. Sewaktu Jin Naga Hitam menepis setiap serangan itu, tangannya mula mengalami kecederaan. Ini membuatkan Jin Naga Hitam berundur banyak kali. Tiba-tiba, muncul beberapa orang anak buah Jin Naga Hitam. Merasakan ketuanya berada dalam kesulitan, mereka segera membantu dengan menghembuskan asap-asap beracun. Panglima Besar terpaksa berundur dari medan pertarungan. Pasukan pemanah yang diketuai Panglima Pemanah pula muncul membantu dan menyerang dengan panah berapi.

Dalam keadaan berasap dan berkabus itu, sukar buat para pemanah menyerang. Sudah tentu anak-anak panah akan dibazirkan begitu sahaja. Para pemanah segera berundur setelah diarahkan oleh Panglima Pemanah.

"Bagaimana tuan? Dalam keadaan asap beracun ini, kita sudah terkepung. Sukar untuk menyerang. Apakah kita perlu berundur dan mendaki Gunung Segumpal?" Para panglima menunggu perintah seterusnya daripada Panglima Besar. Satu keputusan yang akan menyelamatkan diri mereka.

"Baik, kita berundur. Musuh kita bukan sebarangan musuh. Lebih baik kita maklumkan segera kepada Maharaja Segumpal," ringkas namun penuh bermakna buat semua panglima dan pahlawan dari 5 puak.

Pahlawan-pahlawan dari 5 puak segera mengetuai dan memimpin perjalanan ke puncak. Selain itu, pahlawan-pahlawan 5 puak yang lain juga berada di belakang para panglima. Para panglima kerajaan Segumpal berada di tengah-tengah pahlawan 5 puak sebagai perlindungan. Jalan ke puncak Gunung Segumpal itu penuh berliku dan penuh dengan perangkap. Para pahlawan 5 puak lebih mengetahui akan letaknya perangkap-perangkap itu. Begitulah yang terjadi ketika keberangkatan tiba Maharaja Segumpal Satria dan para rombongannya di kaki Gunung Segumpal itu. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Apakah akan ada pertarungan di puncak Gunung Segumpal? Apakah strategi yang akan digunakan oleh Mahaguru Naga Emas bagi memerangi Jin Naga Hitam dan Puak Bisa?

Bersambung...

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.