Sunday, May 09, 2021

5 Puak (Episod 14 : Mata-mata Puak Bisa)

"Tok, mengapa kita berhenti di sini?" Bukankah kita harus mengejar mereka?"

"Tak perlu kita kejar dan ekori mereka semua. Lebih baik duduk bersenang lenang dahulu di perkampungan ini. Makanan pun banyak," jawab Jin Naga Hitam sambil tertawa besar. Anak-anak buahnya kurang mengerti dengan kata-kata pemimpin mereka.

"Tak perlu kamu semua risau akan perangkap yang dipasang di gunung itu. Aku sudah memasang mata-mata yang telah melihat semua keadaan di sepanjang perjalanan ke puncak gunung. Kita tinggal dahulu di sini dalam dua ke tiga hari. Kita habiskan bekalan makanan mereka semua. Ha ha ha ha!"

DAN kemudian kita akan melangkah dengan gagah tanpa perlu rasa gentar," tambah Jin Naga Hitam dengan matanya yang bersinar-sinar kemerahan bak saga. Senyuman menyeramkan mula terlihat di wajahnya, menandakan dia amat yakin dengan pengintip yang dihantar olehnya. Siapakah mata-mata yang dimaksudkan oleh Jin Naga Hitam? Apakah orang itu salah seorang pengikut kepada Puak Bisa? Pertandingan antara 5 puak masih berlangsung dengan penuh kemeriahan. Anak Harimau menentang Anak Helang, satu pertarungan yang seringkali terjadi antara dua puak ini. Namun begitu, kemenangan sering dimiliki Puak Harimau, bukan sekali malah boleh dikatakan hampir kesemuanya menjadi milik Puak Harimau. Namun kini Puak Helang menunjukkan peningkatan daripada segi kemahiran dan kekuatan. Anak-anak Helang giat berlatih dan sentiasa menunjukkan semangat yang membara semasa pertandingan sedang berlangsung.

Semua diibaratkan adalah pertandingan akhir buat mereka. Anak Helang kedua ini jelas seorang petarung yang tidak terikat dengan peraturan atau gaya Puak Helang. Dia tidak terlalu bergantung kepada teknik tempur helang yang sebenar. Bukanlah tiada langsung imej tempur dan perang sang helang, namun Anak Helang kedua ini lebih mementingkan kekuatan dalam pertarungannya. Anak Harimau pertama masih merasakan dia mampu terus bertarung. Walau keadaan jasadnya semakin lemah, namun semangatnya tetap tinggi membara. Dengan ertikata lain, dia enggan berputus asa dan masih yakin dengan kemampuan dirinya sendiri. Keyakinan yang terlalu tinggi itu lebih berupa kepada sikap ego dan memandang rendah keupayaan lawan. Dia masih cuba bermain-main dengan lawannya. Dengan sisa tenaga yang masih ada, Anak Harimau berpusing-pusing di sekeliling Anak Helang sebagai petarung kedua. Caranya itu lebih banyak menghabiskan tenaga.

Anak Helang lebih bijak dan tidak langsung terpengaruh dengan permainan minda Anak Harimau. Oleh kerana itu dia sentiasa berdiri dalam posisi tegak, dan pancaindera dipasang sebagai tindak balas bersiap siaga. Dia tidak terus menyerang balas kerana itulah yang dimahukan Anak Harimau agar lawan senantiasa melayani acahannya. Walaupun begitu, Anak Helang tahu Anak Harimau akan menyerangnya bila-bila masa dan dari arah yang tidak dijangka. Tepat seperti jangkaannya, Anak Harimau tiba-tiba sahaja menyerang dengan teknik sapuan kaki. Anak Helang sempat melompat bagi mengelak serangan tersebut dan kemudian menyerang balas dengan satu tendangan padu, namun sempat dielak Anak Harimau yang segera berundur dan kembali berpusing-pusing di sekelilingnya.

"Arghhhh, dia cuba menaikkan kemarahan aku," bisik hati Anak Helang yang kemudian menutup matanya. Deria pendengaran akan digunakan sepenuhnya bagi menggantikan mata. Ini adalah kali pertama ia digunakan dalam pertandingan setelah dia banyak kali berlatih dengan teknik seperti itu.

Anak Harimau masih teragak-agak untuk menyerang. Lebih-lebih lagi dalam keadaan Anak Helang yang dilihat menutup mata. "Apakah dia ada helah yang lain atau telah buntu dengan helahku?" Bisik hati Anak Harimau. Kedua-dua petarung muda itu semakin hilang sabar. Bukan sahaja mereka, para penonton juga begitu dan  ternanti-nanti apakah aksi seterusnya. Tok Harimau juga memerhati dengan penuh geram melihat sikap anak muridnya itu. Tiba-tiba, Anak Harimau menerkam ke arah Anak Helang. Mendengarkan pergerakan yang begitu pantas dari arah belakangnya, Anak Helang dengan mata tertutup melepaskan satu tendangan padu. Tendangan itu hampir-hampir mengenai Anak Harimau, namun sempat juga dia menghentikan langkahnya, seolah-olah dia dapat membaca sesuatu dalam fikiran si Anak Helang. Anak Harimau sempat menyambut tendangan kaki Anak Helang lalu cuba membanting dan menghumbannya. Anak Helang pula tidak sempat menyerang balas dan terpaksa merelakan dirinya dihumban. Anak Helang terpelanting jauh, namun dia segera bangkit dengan bibirnya yang dipenuhi darah.

Akan tetapi, Anak Harimau tidak terus menyambung serangan. Dia hanya melihat keadaan itu sambil tersenyum sinis, kemudian mendekati rakan seperguruannya yang akan menjadi petarung seterusnya. Selepas menepuk tangannya dengan rakannya itu, Anak Harimau pertama terus duduk bersila. Anak Harimau kedua ini punya tubuh yang lebih tegap dan sasa. Ketinggiannya melebihi ketinggian fizikal Anak Helang kedua. Walau bagaimanapun, gerak langkahnya begitu tersusun, sopan santun dan lemah lembut. Dia memberi salam sembah hormat kepada semua yang berada di situ sebelum membuka langkah tempurnya. Anak Helang yang geram, kini tidak mampu bertenang lagi. Dia segera menerkam lawannya dan mula menyerang dengan teknik Cakaran Helang. Akan tetapi, semua serangan itu dapat ditepis dan dielak dengan mudah. Sebaliknya, jari jemari Anak Helang pula yang mengalami luka-luka kecil. Tangan Anak Harimau kedua ini keras seperti besi waja. Oleh kerana pertarungan antara 5 Puak tidak membenarkan pertarungan ilmu kebatinan, semua petarung telah berlatih teknik pernafasan. Setiap otot-otot mampu menjadi keras dan pejal dengan teknik pernafasan itu.

Pertarungan kali ini lebih kepada kekuatan fizikal. Kedua-dua petarung punya kelebihan dan kekuatan yang luarbiasa. Masing-masing mampu menahan dan menyerap segala serangan dan tekanan. Anak Harimau kedua masih bertenaga. Ini kerana dia adalah petarung yang baru masuk ke medan pertempuran berbanding Anak Helang kedua. Pertarungan antara mereka bertambah sengit, kedua-duanya saling berbalas serangan. Tumbukan berbalas dengan tumbukan. Tendangan juga dibalas dengan tendangan. Tiada satu pun yang dielak, kerana mereka tidak sempat lagi mengelak serangan lawan dan mengatur strategi. Tiba-tiba, satu serangan Anak Harimau disambut dengan pertembungan telapak tangan. Mereka saling menolak antara satu sama lain dengan tenaga dalaman yang datangnya dari ilmu pernafasan peringkat tertinggi. Dalam keadaan tolak menolak itu, Anak Helang menyentap telapak tangan Anak Harimau. Anak Harimau terduduk apabila dapat dirasakan serangan balas itu begitu menyakitkan. Melihat keadaan Anak Harimau, Anak Helang tidak bertangguh lagi. Satu tendangan pantas dilepaskan ke arah sasarannya iaitu kepala Anak Harimau.

Walaupun berasa kesakitan, Anak Harimau sempat mengelak serangan itu dan kemudian mengepit kaki Anak Helang dengan lehernya. Anak Helang menjerit kesakitan dan akhirnya terpaksa melepaskan cengkaman tangannya. Dia segera berundur bagi memulihkan kekuatannya yang sedikit terjejas. Pada saat itu, tiba-tiba muncul panglima-panglima dan hulubalang diraja bersama para pengikut 5 Puak. Mereka kelihatan begitu cemas dan segera menyembah kepada Maharaja Segumpal Satria. Pertarungan itu terhenti seketika bagi mendengarkan laporan yang dibawa oleh Panglima Besar. Namun begitu, Mahaguru Naga Emas tiba-tiba menyerang Panglima Besar, menyebabkan keadaan di puncak Gunung Segumpal mula dilanda resah dan penuh tanda tanya.

Apakah yang berlaku sebenarnya? Mengapa Mahaguru Naga Emas tiba-tiba menyerang Panglima Besar yang juga rakan sekutunya?

Bersambung…

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.