Thursday, March 25, 2021

5 Puak (Episod 8 : Naga Kembar)

INDERA Sakti berjalan menghampiri mayat pengikut Puak Bisa. Bau yang kurang menyenangkan terhidu di hidung kedua-dua Pahlawan Bayang. Indera Wira cuba mengambil semula akan senjatanya namun ditahan oleh Indera Sakti. "Jangan, senjata itu berkilauan aneh. Kanda rasa darah mereka telah diselaputi racun berbisa. Jika kita pegang senjata ini, tak mustahil kita akan terkena racun," kata Indera Sakti. Indera Wira membiarkan sahaja senjata mereka di situ dan menjauhkan diri dari mayat-mayat pengikut Puak Bisa. Namun begitu, tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki menghampiri mereka. Secepat kilat, dua Pahlawan Bayang menyembunyikan diri mereka. Kedua-duanya mendiamkan diri dan melihat keadaan sekeliling. Tiba-tiba muncul beberapa orang pahlawan Puak Bisa. Mereka adalah orang kanan Tok Bisa dan Nek Bisa yang terdiri daripada Ular Bisa dan Lipan Bisa bersama beberapa orang pengikutnya yang lengkap bersenjata. Pada bilah senjata terlihat kilauan berwarna hijau, menunjukkan ia disapu penuh dengan racun.

"Siapa yang berani bunuh orang-orang kita?" Ular Bisa begitu geram dan mendesis seperti seekor ular. Oleh kerana tubuh badan mereka penuh dengan racun, pengikut-pengikut yang lain segera mengangkat mayat-mayat rakan mereka dan membakarnya. Perbuatan mereka telah menyebarkan bau hanyir dan racun yang sangat memualkan. "Pembunuh mereka masih di sini. Cepat cari di mana mereka bersembunyi," arah Lipan Bisa kepada orang-orangnya. Tanpa berlengah lagi, mereka pun segera mencari dan menggeledah kawasan sekeliling. Pahlawan Bayang masih mampu bertahan dan bersembunyi, namun sampai bila mereka mampu menahan nafas? Indera Wira tidak dapat menahan lagi lalu dia terbatuk tiba-tiba. Pengikut-pengikut dari Puak Bisa kini menyedari kehadiran Pahlawan Bayang lalu mula menyerang. Melihatkan keadaan itu, Indera Sakti cepat-cepat menarik tangan adindanya itu sambil melemparkan senjata-senjata tajam yang tepat mengenai pengikut Puak Bisa.

Ular Bisa begitu geram melihat beberapa orang pengikut mereka terbunuh di depan mata lalu menyumpit kedua-dua Pahlawan Bayang dengan senjata Sumpitan Ular Beracun. Akan tetapi, Indera Sakti berjaya mengesampingkan serangan itu yang hampir-hampir mengenai tubuh badan mereka. Melihat keadaan yang genting itu, Indera Wira membaling sejenis senjata yang tepat mengenai tangan Ular Bisa. Kerana kesakitan, Sumpitan Ular Beracun terlepas dari tangannya. Sementara itu, Lipan Bisa terus mengejar kedua-dua Pahlawan Bayang itu. Pahlawan Bayang tidak mahu melanjutkan pertarungan mereka memandangkan jumlah musuh yang lebih ramai. Pertarungan itu pasti akan mengejutkan musuh seterusnya membawa lebih ramai pembunuh dari Puak Bisa. Namun begitu, Lipan Bisa memang pantas dan dapat memintas kedua-dua Pahlawan Bayang. Lipan Bisa segera menyerang dengan senjata yang agak pelik dan aneh yang dicabut dari pinggangnya.

Senjata Lipan Bisa adalah senjata yang panjang. Ia seperti rantai besi atau mungkin juga cemeti, namun terdapat duri-duri beracun terikat padanya. Lebih menyerupai seperti seekor lipan yang ada banyak kaki. Indera Wira mengelak dan berundur agar tidak terkena serangan beracun itu. Dalam keadaan bertahan, Indera Wira cuba sesekali mendekati dan menyerang balas. Namun dia menghadapi kesukaran untuk menyerang balas kerana kemahiran luarbiasa Lipan Bisa dengan senjatanya itu. Sementara itu, Ular Bisa berhadapan Indera Sakti. Ular Bisa yang mengalami sedikit kecederaan mula menyerang Indera Sakti dengan sejenis pedang lembut. Pedang lembut Ular Bisa itu pasti sudah disapu dengan racun berbisa. Pedang lembut menentang pedang waja. Ini adalah pertama kali buat Indera Sakti berhadapan senjata aneh seperti itu. Melihatkan keadaan itu, Ular Bisa terus menyerang dengan penuh keyakinan. Dia terus menyerang dan menyerang secara terburu-buru.

Indera Sakti bukan lawan yang mudah dan sebarangan orang. Dalam usia yang masih muda, dia sudah biasa berhadapan dengan tipu helah pertarungan. Oleh kerana itu, Indera Sakti terus membiarkan Ular Bisa menyerang. Indera Sakti hanya berundur dan terus berundur, namun dia dapat melihat kemahiran dan kelemahan lawannya. Indera Sakti akhirnya didesak sehingga terpaksa bersandar pada seketul batu yang besar. Pada saat ini, Indera Sakti merasakan inilah peluangnya menyerang balas. Dia memperkukuhkan pertahanan dan kakinya. Pedang lembut Ular Bisa semakin pantas dan semakin hampir mengenai muka Indera Sakti namun sempat dielak. "Inilah peluangku," bisik hati Indera Sakti lalu dia menghentak kaki kirinya ke belakang iaitu ke arah batu besar itu. Hasilnya, Indera Sakti meluncur laju dengan pedang waja seperti sebutir peluru. Ular Bisa tidak dapat mengelak lalu serangan itu tepat mengenai badannya.

Namun begitu, ia tidak dapat menembusi badan Ular Bisa. Indera Sakti segera memutarkan pedang waja sehingga pakaian Ular Bisa koyak rabak.  Rupa-rupanya, Ular Bisa memakai pakaian perisai besi yang bersisik seperti ular. Warna perisai besi itu adalah warna kelabu perak. Ular Bisa ketawa penuh angkuh apabila melihat Indera Sakti kehairanan. Indera Sakti tidak mudah panik. Dia kembali menyerang, kali ini ke bahagian kepala Ular Bisa memandangkan hanya tempat itu yang tiada perisai. Ular Bisa segera mengelak serangan itu, namun Indera Sakti terus menyerang. Jurus Cakar Naga segera digunakan oleh Indera Sakti. Jurus Cakar Naga adalah satu daripada ilmu kerabat diraja Indera Kencana. Bayangan seekor naga berbayang mulai timbul apabila Jurus Cakar Naga diaktifkan. Indera Sakti tidak dapat berundur lagi kerana dia telah menggunakan Jurus Cakar Naga itu yang padat dengan kuasa membunuh.

Sementara itu, Indera Wira menyimpan semula pedang waja. Dia segera mengeluarkan sejenis senjata kecil yang berantaikan besi. Kapak kecil itu dilemparkan ke arah Lipan Bisa sehingga menghasilkan pertembungan dua senjata. Pada bilah kapak itu terdapat sejenis cangkuk yang mampu mengunci senjata musuhnya. Dengan putaran dan teknik pergelangan tangan Indera Wira, kapak kecil berantai itu berjaya mengunci serangan Cemeti Ekor Lipan itu. Dengan kekuatan yang dipertingkatkan, Indera Wira cuba menarik dan merampas senjata musuh dari tangan tuannya. Indera Wira mengalihkan kekuatan Jurus Cakar Naga ke kapak kecilnya. Lalu diputarkan dengan sepenuh kekuatan sehinggakan serangan itu bukan sahaja berjaya menghancurkan Cemeti Ekor Lipan malah mencederakan Lipan Bisa. Lipan Bisa terpelanting ke belakang dan memuntahkan darah dari mulut dan hidungnya.

Lipan Bisa mulai marah dan berang. Lalu dilemparkan senjata kecil berupa seperti duri-duri tajam ke arah Indera Wira. Indera Wira dapat mengelak serangan itu dan menyerang balas dengan peringkat pertama Jurus Cakar Naga. Aura naga berbayang mulai timbul dari belakang Indera Wira, menambahkan rasa gerun di hati Lipan Bisa sehingga terhenti serangannya. Indera Wira menyerang dengan garang dengan kapak kecil tersebut dan serangannya berjaya mengenai kaki dan tangan Lipan Bisa. Sementara itu, pertarungan antara Indera Sakti dan Ular Bisa boleh diibaratkan seperti bertemu buku dengan ruas. Hanya sedikit kelebihan dimiliki oleh Indera Sakti yang menyerang dengan tenaga dalaman yang diperkukuh dengan Jurus Cakar Naga. Semakin lama Indera Sakti semakin menguasai pertempuran itu sehingga tidak tertahan lagi Ular Bisa dengan menyerap serangan. Kemahiran Indera Sakti bukan sahaja dengan senjata, tumbukan dan tendangannya juga berbisa. Namun begitu, Indera Sakti masih belum menggunakan sepenuh kekuatannya.

Pahlawan Bayang tidak boleh berada di situ terlalu lama. Mereka mesti menamatkan pertarungan itu dengan segera. Untuk membunuh, bukan tugas mudah buat mereka berdua walaupun kedua-dua lawannya telah mengalami kecederaan. Satu tendangan padu hinggap ke kepala Ular Bisa sehingga dia jatuh terlentang. Kepalanya mulai terasa sakit. Darah terpancut dari mulut dan hidungnya, begitu banyak sekali. Satu lagi hentakan kaki dari Indera Sakti berjaya dielak Ular Bisa. Kedua-dua musuh telah berjaya ditewaskan, namun Pahlawan Bayang segera melarikan diri kerana ahli-ahli Puak Bisa sudah semakin hampir. Kejayaan menewaskan dua anggota kanan Tok Bisa dan Nek Bisa itu sudah cukup bermakna buat Pahlawan Bayang yang masih hijau umurnya. Tidak lama kemudian, tiga pembantu Tok Bisa iaitu Gagak Pemarah, Kala Menyengat dan Kelawar Gelap tiba di tempat pertempuran itu bersama pengikut-pengikut mereka. Alangkah terkejutnya mereka apabila Ular Bisa yang dianggap abang paling handal telah tewas di tangan Pahlawan Bayang. Mereka segera memindahkan tenaga dalam kepada Ular Bisa dan Lipan Bisa, sekurang-kurangnya memulihkan sedikit kecederaan yang dialami.

Tok Bisa dan Nek Bisa begitu berang dengan kecederaan parah yang dialami dua anggota kanannya. Mereka terpaksa menangguhkan buat sementara waktu perancangan mereka bagi menyerang Istana Indera Kencana. Kejayaan Pahlawan Bayang menundukkan dua orang harapan Tok Bisa itu hanya diketahui oleh Maharaja Indera Perkasa. Maklumat yang diberikan cukup berguna buat Maharaja Indera Kencana. Mereka segera mempersiapkan pasukan tentera bagi menghadapi serangan Puak Bisa dan didalangi oleh Indera Samara yang pasti akan tiba bila-bila masa. Empat hari kemudian, Puak Bisa yang telah berjaya menghancurkan musuh mereka mulai maju ke Istana Indera Kencana. Pasukan hadapan yang diketuai oleh Panglima Besar dan Panglima Kecil kini berhadapan serangan Puak Bisa. Panglima Kecil bersama pasukan pemanah terus menyerang dari segenap penjuru.

Namun begitu, Puak Bisa telah dipersiapkan dengan perisai bagi menangkis serangan anak panah yang bagaikan hujan turun dengan lebatnya. Pasukan kedua Indera Kencana mulai menyerang dengan lembing dan tombak. Mereka bersatu hati dalam setiap serangan oleh kerana Puak Bisa yang mempunyai kelebihan dengan senjata beracun. Panglima Besar bersama-sama anak buahnya mula menyerang dengan senjata-senjata mereka. Setiap daripada askar-askar itu semuanya menutupi wajah mereka dengan kain hitam bagi mengelakkan mereka terbau racun berbisa yang ada pada tubuh anggota Puak Bisa.

Bersambung…

Karya : MS MALAWI

Gambar dan ilustrasi adalah hiasan semata-mata 

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.