Monday, February 21, 2022

5 Puak (Episod 33 : Tiba Di Kota Suci Mekah) Oleh MS Malawi

"Apa yang terjadi sebenarnya?" tanya Anak Serigala.

"Anak buah kalian ini telah disihir," jawab Naga Hitam.

TIDAK lama kemudian, Tok Serigala pun tiba. Naga Hitam pun menceritakan secara terperinci atas apa yang terjadi. Jelas, ada sesuatu yang mencurigakan di dalam rumah Marvick. Naga Hitam dan Tok Serigala memulakan rawatan bersama. Hampir setengah jam berlalu, lelaki dari Puak Serigala akhirnya sedar. Lalu diberikan air penawar bagi memulihkan semangatnya. Lelaki itu merasa sakit-sakit di seluruh badan. Sengal-sengal pada sendi dan sarafnya begitu terasa. Sakit pada kepalanya beransur-ansur pulih. Mereka semua sangat bersyukur di atas pertolongan daripada Allah SWT dan asbab Naga Hitam yang membantu dalam perawatan Islam.

"Macam mana rasa keadaan kau sekarang?" tanya Tok Serigala kepada anak buahnya itu.

"Alhamdulillah, tok. Hamba rasa sudah semakin pulih," jawab lelaki tersebut dalam keadaan duduk berlunjur.

"Ada tak kau ingat apa yang terjadi semasa di rumah Marvick itu?" tanya Naga Hitam pula.

"Hamba dipaksa minum air itu. Selepas itu hamba rasa seperti dipukau olehnya. Seluruh tubuh hamba tak mampu bergerak. Hanya mata dan telinga melihat segalanya" 

"Sampai ke dalam rumah, mulut hamba hanya dapat berzikir. Mungkin hamba tidak dapat dikuasai sepenuhnya oleh ilmu pukau atau ilmu hitam Marvick itu. Hamba lihat ramai rakyat Segumpal di dalam rumah itu. Tapi, selepas itu hamba akhirnya tak sedarkan diri," tambah lelaki itu.

"Mungkin Marvick tahu siapa kau sebenarnya. Kerana itu dia membebaskan kau dari terus berada di rumah itu untuk dibiarkan mengamuk di kampung kita ini. Mungkin dia rasa kau akan terbunuh pabila kau mengamuk. Dengan itu, tiada saksi dan tiada bukti mengaitkan dirinya," kata Naga Hitam.

"Bagaimana, tok? Apakah kita perlu maklumkan hal ini kepada Maharaja Segumpal Satria? Atau terus serbu rumah itu?" tanya Tok Serigala pula. 

"Pada pendapat aku, Marvick telah mengetahui yang dirinya telah diperhatikan. Mungkin, jika kita serbu dengan perkenan Yang Mulia Maharaja, rumah itu telah dibersihkan. Atau, mungkin juga mereka akan berpindah ke tempat lain selepas ini," jawab Naga Hitam.

Tok Serigala amat geram atas apa yang telah terjadi kepada anak buahnya. Ternyata Marvick adalah pengamal ilmu hitam yang tegar. Ada kemungkinan rakyat Segumpal telah diperdaya oleh Marvick dan anak-anak buahnya dengan ilmu hitam tersebut. Naga Hitam dan Tok Serigala pun segera mengadakan perbincangan. Melalui perbincangan tersebut, Naga Hitam dan Tok Serigala telah bersetuju agar Anak-anak Serigala ditugaskan mencari rakyat Segumpal yang telah menjadi mangsa dan memulihkan mereka dari ilmu hitam tersebut. Untuk terus menyerbu rumah Marvick, mereka bimbang akan dimurkai oleh Maharaja Segumpal Satria. Seandainya mereka punya bukti yang kukuh, pasti dapat menghalang Marvick daripada terus bermaharajalela. Malangnya mereka tiada sebarang bukti, kecuali daripada mata dan telinga mereka sahaja.

Keadaan di Segumpal nampaknya tidak aman lagi. Kehadiran Marvick membawa resah dan huru hara. Kehadiran rakyat Segumpal ke Masjid Segumpal pada setiap waktu solat berjemaah juga semakin berkurangan. Maharaja Segumpal Satria nampak akan keadaan itu. Sebagai seorang pemimpin tertinggi, sudah tentu baginda tertanya-tanya ke mana hilangnya mereka. Begitu juga dengan kehilangan beberapa orang kerabat diraja. Maharaja Segumpal Satria terus menjadi imam pada beberapa solat berjemaah. Kadangkala baginda bergilir-gilir dengan Naga Hitam dan beberapa lagi pemimpin yang lain. Naga Hitam dapat melihat keresahan di hati sang maharaja.

Usai solat Isya' berjemaah, Naga Hitam telah mendekati Maharaja Segumpal Satria. Mereka berdua telah berbincang akan sesuatu yang sulit dan rahsia. Seperti yang telah diduga, Maharaja Segumpal Satria tidak percaya akan tuduhan Naga Hitam ke atas Marvick. Oleh kerana itu, Naga Hitam telah mencadangkan agar Maharaja Segumpal Satria dapat menghantar orang kepercayaannya menyiasat bersama dengannya. Maharaja Segumpal Satria bersetuju menghantar dua orang yang paling dipercayai. Dua orang itu adalah pembesar yang tidak pernah terlibat dengan kegiatan Marvick, namun juga tidak akan berat sebelah dalam penyiasatan mereka. Beberapa hari berlalu, rumah yang diintip kelihatan kosong tiada berpenghuni. Dua orang pembesar itu, Kilat dan Petir namanya membuka pintu rumah itu. Namun tiada siapa pun berada di situ, malah rakyat Segumpal yang berkunjung ke rumah Marvick juga seperti mengetahui Marvick dan orang-orangnya telah berpindah.

Hasil siasatan menemukan tempat operasi baharu Marvick iaitu di sebuah rumah kerabat diraja. Kerabat diraja ini sekeluarga adalah pengikut setia Marvick, ada kemungkinan juga telah dipukau oleh ilmu hitam. Kilat dan Petir telah menyatakan kepada Naga Hitam akan kesukaran meneruskan siasatan kerana kerabat diraja itu amat rapat dengan Maharaja Segumpal Satria. Pelayaran Pendita Naga Emas, Pahlawan Bayang dan orang-orang asal yang telah memeluk Islam telah dipermudahkan Allah. Saudara baru atau digelar mualaf telah membawa rezeki dan kemudahan di kemudian hari. Mereka akan tiba ke Mekah dalam dua hari pelayaran, jika tiada aral melintang. Dalam pelayaran itu, Pendita Naga Emas sering menyampaikan ilmu berkaitan agama Islam bagi menambah pengetahuan saudara baru tersebut. Dalam pelayaran itu, Pendita Naga Emas juga sedang merekabentuk senjata baharu hasil daripada kajiannya berkaitan senjata leletup.

Pendita Naga Emas berpendapat, senjata leletup ini amat unik dan mudah digunakan. Beberapa kaedah dan bahan yang sesuai akan menjadikan senjata ini menggerunkan musuh-musuh. Pendita Naga Emas turut meminta pendapat Pahlawan Bayang untuk tujuan itu.

"Apa pendapat ayahanda berdua? Apakah senjata yang bakal kita hasilkan ini perlu bentuk yang kecil atau besar?"

Pahlawan Bayang saling berpandangan. Mereka melihat lakaran rekabentuk yang dilukis oleh Pendita Naga Emas. Ia nyata menarik hati mereka, namun mereka tidak tahu bagaimana hendak meluahkan pendapat.

"Terus terang sahaja, ayahanda berdua. Sebagai Panglima Bayang, apakah senjata ini perlu dihasilkan dalam bentuk yang kecil dan mudah dibawa atau dalam bentuk besar?"

"Kami rasa, senjata ini boleh dihasilkan dalam dua bentuk berbeza. Bagi kegunaan untuk mengembara, sesuai senjata kecil. Tapi, jika untuk mempertahakan tempat kita, perlu dihasilkan satu senjata yang besar ," kata Indera Wira dan turut dipersetujui oleh Indera Sakti.

"Terima kasih, ayahanda. Sekarang tinggal yang penghabisan iaitu untuk bahan yang perlu ada dalam leletup ini," kata Pendita Naga Emas. 

"Untuk itu, mungkin kita akan temui satu bahan yang boleh menjadi pemudah atau pencetus api dan yang akan mudah menembusi besi. Mungkin di sana nanti kita akan temuinya," tambah Indera Sakti pula.

"Di mana?" Tanya Pendita Naga Emas dan Indera Wira. Indera Sakti hanya mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

Perjalanan mereka yang memakan masa selama dua minggu itu akhirnya selamat tiba jua di Kota Suci Mekah selepas beberapa hari sebelumnya mereka terpaksa berjalan kaki. Ini kerana tiada tempat lagi mereka dapat belayar kerana mereka mesti mengharungi perjalanan di daratan pula. Walaupun kepenatan, rombongan mereka termasuk orang asal merasa begitu kagum dengan binaan Kaabah. Orang-orang asal segera mendirikan khemah bagi tujuan merehatkan diri. Walaupun matahari tegak di atas kepala, keadaan di Kota Suci Mekah itu berbeza dengan apa yang kelihatan. Terasa akan angin yang lembut membuai rombongan ini. Pada esok hari, mereka akan sama-sama mengerjakan ibadat haji. Satu peluang yang tidak akan disia-siakan sepanjang hidup mereka semua. Maka, pada malam itu, Pendita Naga Emas menyampaikan sedikit tazkirah, peringatan dan pelajaran ulangan atas semua ilmu berkaitan haji kepada ahli rombongannya.

Usai tazkirah ringkas malam itu, mereka masuk tidur lebih awal. Dengan tidur yang secukupnya, mereka akan dapat menunaikan ibadat haji dengan lebih bertenaga dan lebih baik. Akan tetapi, Pendita Naga Emas tidak berapa lena tidurnya. Beberapa kali dia terbangun, melihat bayang-bayang adindanya iaitu Naga Hitam yang sedang berjuang di Segumpal. Dalam bayangan itu juga, Pendita Naga Emas terlihat bayangan Marvick, pendita yang dibawa dari kerajaan Baratia.  Pada mulanya bayangan itu nampak baik dan elok. Namun begitu, tiba-tiba sahaja wajah Marvick berubah rupa. Wajahnya terbentuk kepada rupa makhluk yang menakutkan bersama anak muridnya yang turut berubah rupa. Marvick seakan-akan sedar sedang diintip oleh Pendita Naga Emas lalu menyerangnya.

"Allah Hu Akhbar.. Astaghfirullahhal 'adzhim," Pendita Naga Emas mengucap panjang sambil mengurut dadanya. Panglima Bayang turut sama terbangun daripada tidur mereka.

"Mengapa anakanda? Ada apa-apa yang bermain di fikiran anakanda?" Tanya Indera Wira. Indera Sakti kemudiannya datang bersama secawan air, lalu diberikan kepada Pendita Naga Emas.

"Anakanda dapat satu mimpi yang buruk. Anakanda nampak adinda Naga Hitam sedang mengalami kesukaran di Segumpal. Ada seorang pendita yang mempunyai ilmu hitam yang sangat tinggi. Dan, anakanda nampak Naga Hitam telah terpengaruh dengan aura hitam itu," kata Pendita Naga Emas.

"Apakah jin yang menumpang tubuhnya itu masih tidak mahu melepaskannya?" Tanya Indera Sakti.

"Ya, jin itu nampaknya kembali semula kerana pengaruh aura hitam dari pendita Baratia itu. Adinda Naga Hitam dalam keadaan sukar sekarang ini kerana bergelut dengan jin itu dan juga jin-jin dari Baratia yang mengganas di Segumpal.

"Lalu, apakah kita akan teruskan ibadah haji di sini?" Tanya Indera Wira pula.

"Ya, kita akan teruskn sampai habis. Kita akan sama-sama mendoakan kesejahteraan keluarga kita di sana. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan segala doa-doa kita," kata Pendita Naga Emas.

Apakah benar berlaku huru-hara di Segumpal? Benarkah gambaran yang dilihat oleh Pendita Naga Emas itu adalah gambaran sebenar atau mungkin ia gangguan iblis dan syaitan agar dia dan ahli rombongannya membatalkan hasrat menunaikan ibadah haji? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui...

Bersambung…

Cerita ini adalah cerita rekaan. Watak di dalam cerita ini hanyalah rekaan dan tidak berkait dengan orang yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, karya naskhah ini adalah hakmilik blog Jejaka Aksi Malaya, segala peniruan, salinan semula samada dalam media elektronik atau media cetak mahupun online, mestilah perlu mendapat kebenaran dari admin blog ini.