Sunday, July 28, 2013

Seni Silat Sendeng Malaysia : Sejarah & Asal Usul (Bahagian 1)


SENI Silat Sendeng Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Muar telah diasaskan oleh Allahyarham Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah di Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau telah mewarisi pembelajaran Seni Silat Sendeng ini dari ninda-ninda beliau serta guru-gurunya yang lain yang terkenal dengan kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan serta kerohanian mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.

Perguruan ini merangkumi persilatan dari 3 aliran yang terkenal dizaman silam iaitu Kuntau Telok Mas, Pukulan Sendeng dan Pukulan Sendeng 7 Hari. Ketiga-tiga jenis aliran persilatan ini diajar secara berperingkat yang dinamakan Kuntau 3 bulan, Sendeng dan Sendeng 7 Hari. Setiap satu diperturunkan sama seperti aliran persilatan yang asal tanpa mengubah atau mencampur aduk permainan.

"...Pada 13hb Julai 2009 bertempat di Ledang, Johor, perguruan silat ini telah diistyharkan oleh YAB Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor, sebagai silat rasmi negeri Johor..."

Bagi Kuntau 3 Bulan pelajarannya terdiri dari tari dan langkah silat Melayu yang asli seperti lela sembah, lompat tiong , lebah mengurap, lipat pandan dll, permainan senjata seperti keris, tumbuk lada , tekpi, pedang, pedang–perisai dan tembong. Juga terdapat belebat kuntau, pecah (kata) ,pernafasan lean dan pukul selain dari tangkapan dan kuncian.

Dalam permainan Sendeng terdapat belebat, langkah dan pukul termasuk cara menyerang tangan kosong dan sparing. Permainan Sendeng 7 Hari lebih menumpukan kepada membaca gerak dan melapis pukul sendeng serta mengenali sasaran lemah pada lawan. Dalam peringkat ini cara bertahan atau menyerang tidak bergantung kepada lawan.

Bersambung...