Friday, May 24, 2013

Ip Man Versi Donnie Yen Yang Terbaik!


DUNIA perfileman seni beladiri Hong Kong sering berlaku revolusi. Seperti yang kita tahu, Hong Kong adalah kilang menghasilkan filem beladiri yang berkualiti sejak azali lagi. Kemuncak awal adalah Bruce Lee, kemudian kesinambungan diwarisi Jackie Chan, Jet Li, Yuen Biao, Sammo Hung dan pilihan masakini, Donnie Yen. Maka lahirlah filem beladiri kung-fu cina yang baru iaitu Ip Man. Tanpa anda sedari filem francais Ip Man sudah ditayangkan dalam pelbagai versi sejak filem pertamanya pada tahun 2008. Dalam versi tersebut sudah masuk empat individu telah pun ‘menjawat’ watak Ip Man. Keempat-empat mereka ialah Donnie Yen, Dennis To, Tony Leung dan yang terbaru Anthony Wong.  Dalam kempat-empat pelakon ini, siapakah anda rasa yang berjaya memberi kesan atau impak dalam memegang watak Ip Man?

Adakah Anthony Wong (Ip Man – The Final Fight), Tony Leung (Ip Man – The Grandmaster), Dennis To (Ip Man – The Legend Is Born) atau Donnie Yen (Ip Man 1 & Ip Man 2 – Legend Of The Grandmaster)? Rasanya saya sependapat dengan anda... sudah pasti Donnie Yen. Kalau dahulu, filem-filem beladiri Hong Kong sering dikaitkan dengan lagenda mereka Wong Fei Hung, Hou Yuanjia, Chen Zhen atau mitos Fong Sai Yuk. Beberapa orang pelakon turut memainkan peranan tersebut terutama watak Wong Fei Hung antara Jet Li dan Jackie Chan. Kedua-duanya pada saya berjaya memberi impak tentang kehebatan Wong Fei Hung dalam aksi kung-funya. Jet Li dalam Once Upon A In China 1-4 dan Jackie Chan dalam Drunken Master 1 & 2. Begitu juga kelebihan dan kelainan Donnie Yen dalam mendokong watak Ip Man sehingga kita mendapat sesuatu dari kesan watak yang dimainkan.


Apa yang pasti penonton lebih mengerti atau lebih pandai menilai ‘genre’ sesuatu cerita dalam filem. Itu yang patut kita belajar sebenarnya terutama di Malaysia. Penggiat filem kita tidak pernah belajar akan kejayaan sesuatu filem mengikut genre perfileman. Sebaliknya apa yang mereka tahu hanya ‘copy’ filem dan terjemahkan serta diubah kembali mengikuti aliran dan kebudayaan melayu. Itu antara faktor filem kita gagal dipentas antarabangsa kerana tiada ciri-ciri ‘original’, identiti dan kekuatan. Kita berbalik pada pokok asal artikel ini. kenapakah Donnie Yen diterima berbanding tiga lagi pelakon yang pernah melakonkan watak Ip Man? Adakah lakonan mereka gagal? Atau mereka kurang ada komersil ‘value’? Adakah faktor umur? Pada saya terdapat beberapa perkara yang menyebabkan Donnie Yen berbeza.

Kemahiran Seni Beladiri

Ini merupakan faktor utama! Bagi menjayakan sesuatu filem seni beladiri, pelakon itu mesti ‘master’ atau jurulatih tegar yang aktif dan berpengalaman dalam bidang tersebut. Ini kerana, kemahiran yang hendak dipamerkan dalam filem tersebut bukan hadir dalam sekelip mata atau dalam dua tiga jam berlatih atau enam bulan atau setahun. Tambahan pula watak tersebut mesti pakar beladiri atau guru! Pelakon lain seperti Anthong Wong atau Tony Leung bukan orang beladiri, sudah pasti mereka gagal kecuali Dennis To yang merupakan pengamal seni beladiri wing chun! Oleh itu, peminat mahu aksi sebenar yang mantap oleh watak Ip Man, kerana ianya mewakili komuniti dan disiplin wing chun! Jika gagal memberi impak makna wing chun pun gagal. Penonton mahukan apa yang dipaparkan itu sampai melalui kaedah serangan, tumbukan dan tendangan yang mantap serta berkesan.


Di Malaysia, selalunya filem aksi berunsur pertarungan sering dilakonkan oleh pelakon tiada kemahiran dalam beladiri. Sudahlah tiada latar belakang belakang, langsung tidak cekap dan mahir, akhirnya merosakkan filem tersebut dan ‘gulung’ tikar! Mana tidaknya, pelakon yang diberi peranan hero dalam filem aksi Malaysia tidak ada kredibiliti sebagai hero beladiri yang mahir sebaliknya mahir dalam memikat ‘burung’ oleh ‘kumbang’ yang sumbang. Maka sumbanglah filem tersebut! Kenapa sumbang? Cuba lihat apabila aksi pertarungan, aksi terpaksa dibantu oleh ‘stuntman’ atau ‘body-double’. Bukan itu sahaja, genggam tumbuk pun tak tahu, langkahan sumbangan, permainan senjata tidak tahu da banyak lagi tetapi lagak dan nafsu sentiasa ‘besar’ mengalahkan Tony Jaa. Nak tiru tapi tak mampu!

Pengalaman

Apa yang membezakanya antara Donnie Yen dan Dennis To? Satu perkara sahaja iaitu ‘Pengalaman’. Benar, faktor pengalaman yang membezakan mereka berdua selain ‘camera-favour’. Kalau dibandingkan dalam bidang seni beladiri, Donnie Yen terlebih dahulu berbanding Dennis To. Untuk makluman, Dennis To adalah atlit seni beladiri Hong Kong yang diangkat menjadi pelakon. Dennis To pernah mewakili Hong Kong dalam Sukan Asia tahun 2002 dan memenangi pingat perak, manakala dalam Sukan Asia Timur memenangi pingat emas. Dennis juga pernah merekodkan pelbagai pingat dalam pertandingan seni beladiri amatur sekitar Hong Kong. Asas beladiri adalah seni wushu. Dari segi nama dan populariti sememangnya Donnie Yen lebih kukuh daripadanya kerana Donnie Yen bertapak dalam bidang seni ini pada awal 80an lagi.


Namun, satu kredit dan contoh yang baik buat penggiat serta penerbit filem seni beladiri Hong Kong yang mengekalkan formula ini iaitu ‘watak hero filem seni beladiri, mesti pelakonbeladiri yang mahir, mahu hasil filem beadiri terbaik, jawapannya sama iaitu mesti dilakonkan oleh pelakon seni beladiri yang mahir!’ formula ini terbukti berkesan! Bukti terkini ialah Siam (Thailand) dan Indonesia! Mereka kini boleh berbangga dengan ‘wira’ beladiri asli  mereka seperti Thailand melahirkan Tony Jaa, Dan Chupong, Kazu Neda, Yanin Jeeja. Manakala Indonesia berjaya mengangkat martaba silat melalui Iko Uwais atau Joe Taslim. Lebih menguntungkan ialah apabila industri filem mereka sendiri mula dikenali oleh kerana satu sebab iaitu SENI BELADIRI! Malaysia? Tahu tiru tapi tak reti nak buat! Nak tiru biar 100%! Ini tidak, pelakon ‘Mat Bunga’ jadi hero filem aksi seni pertarungan atau beladiri. Maka jadilah filem ‘debunga mewangi’ versi seni beladiri Malaysia.

Terbaik Bukan Jaminan

Walaupun Ip Man dilakonkan oleh pelakon terbaik Hong Kong dan dunia pun, ianya masih gagal menyaingi Ip Man versi Donnie Yen. Tony Leung bukan calang-calang pelakon, beliau merupakan bekas pelakon terbaik di festival filem cannes. Begitu juga Anthony Wong, walaupun veteran tetapi beliau merupakan pelakon berpengalaman selain pernah memegang watak uncle Nong dalam filem ‘Legend of Fist – The Return of Chen Zhen’ serta ‘Fist of Legend’ bersama Jet Li (Chen Zhen). Memang tidak dinafikan pelakon seperti Tony Leung akan memanipulasi bakatnya dalam mempengaruhi emosi penonton, tetapi mahukan aksi realistik, bertenaga dan bukan ‘chicken-chop’ semata-mata untuk menipu para penonton. Namun, semua itu gagal menyaingi Donnie Yen yang lebih arif dalam filem seni beladiri dengan ‘mengaktifkan’ atau memaksimunkan aksi sehingga menenggelamkan permainan emosi yang ‘melo’. Itu yang kita mahukan!


Saya menulis bukan kerana hendak menghentam-tuli secara tak tentu pasal, tetapi ianya adalah fakta dan praktikal telah pun berlaku. Bukan sekadar teori. Pada saya, di Malaysia penggiat dan penerbit filem lebih menjual ‘orang’ daripada menjual ‘produk’. Itulah pendapat saya. Jika ini berlarutan maka industri perfileman kita tidak akan ke mana-mana, sebaliknya anak tempatan dianaktirikan, orang asing mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Terbaik bukan jaminan? Benar, rata-rata peminat antarabangsa tetap teguh menyokong Donnie Yen dan berharap beliau meneruskan watak Ip Man dalam filem seterusnya. Terdapat desas-desus menyatakan Donnie Yen tidak akan terlibat dalam Ip Man 3, adakah benar? Sama-sama nanti kita tunggu akan jawapannya. Apa-apapun, Donnie Yen sepanjang tahun beliau sememang terlalu sibuk dengan aktiviti penggambarannya. Filem terbaru yang menemui peminat dipawagan pada tahun ini ialah ‘The Iceman Cometh’!